KUALA LUMPUR 24 NOV 2010: Larut dalam percintaan sememangnya mengasyikkan namun tidak dinafikan dalam meniti perhubungan tersebut pastinya pelbagai ujian dan halangan yang terpaksa ditempuhi. Sama seperti pasangan yang lain, aktres Almy Nadia turut mengakui merasai tempias gelora itu.
Mengakui sudah lelah dan penat untuk menangis akibat kehadiran orang ketiga dalam hubungan percintaannya dengan aktor Fizz Fairuz, anak kelahiran Pulau Pinang ini menjelaskan hanya tangisan yang sering menjadi teman pujuknya kala itu.
Enggan melayan perasaan marah dan cemburu yang bisa memusnahkan cinta mereka, berdiam diri merupakan langkah terbaik yang diamalkannya bagi menyelamatkan percintaan yang sudah pun dibina hampir tiga tahun itu. Namun Almy menafikan sekeras-kerasnya dakwaan hubungan mereka telah pun berakhir.
"Kehadiran orang ketiga atau keempat ini semua saya dah biasa. Nak menangis kerana semua itu pun, dah biasa, jadi langkah terbaik jangan terlalu memikirkan tentang cinta kerana ia akan membuatkan saya lebih makan hati.
"Tapi buat masa sekarang kami ini, masih lagi bersama cuma kurang berjumpa kerana masing-masing sibuk dengan kerja," jelasnya tenang mengenai status perhubungannya yang kononnya dikatakan sedang berada dalam fasa retak menanti belah.
Mengamal sikap mempercayai pasangan sebagai teras untuk meneruskan perhubungan ini, kata gadis berusia 24 tahun ini, sebolehnya dia tidak mahu mengalami nasib yang serupa dengan rakan selebriti yang lain.
"Saya mengaku takut apabila mendengar cerita Irma dan Nabil putus. Sedih apabila membaca cerita mereka hinggakan saya menangis. Saya mengaku takut dan tak mahu mengalami situasi yang sama dan berharap sangat perkara tersebut jauh daripada kami. Tapi saya juga manusia dan tak mampu untuk menghalang ketentuan Ilahi," katanya lagi.
Ditanya mengenai kenyataan ibu Fizz yang pernah dikeluarkan di murai.com.my bahawa aktor tersebut berkemungkinan akan mengakhiri zaman bujangnya pada Disember ini, sambil tersenyum manis Almy berkata: "Saya tak keluarkan apa-apa kenyataan akan menikah pada bulan tersebut. Tunggulah kenyataan dari saya sendiri mengenai perkahwinan dan saya pun tak boleh nak mengulas mengenai kenyataan ibu Fizz.
"Ada jodoh tak kemana kerana saya sendiri mengharapkan pengakhiran yang gembira untuk kisah cinta kami,"katanya lagi.
Dalam pada itu, meskipun sedang meniti populariti sebagai anak seni, dia tidak kisah untuk menarik diri daripada bidang seni sekiranya itu yang diperlukan setelah berumahtangga kelak.
"Saya tak kisah jika itu yang perlu saya korbankan untuk kebahagiaan kami. Lagipun salah seorang pastinya kena perlahankan sedikit aktiviti lakonan.Sebagai wanita saya rasa mungkin saya yang perlu menghadkan masa untuk lakonan sebaliknya bagi tumpuan pada keluarga," jelasnya mengakhiri perbualan.
0 comments:
Post a Comment